Agong titah PM Anwar teruskan tugas, Istana Negara tidak akan terlibat percaturan politik
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri tanpa menghiraukan sebarang percaturan politik.
Titah itu disampaikan baginda ketika Anwar menghadap Seri Paduka bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet di samping mengulas beberapa perkembangan semasa.
Melalui satu kenyataan susulan pertemuan itu Anwar turut berkata, Seri Paduka juga telah bertitah bahawa pihak Istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.
“Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk meneruskan kerja mengurus negara. Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik,” katanya.
Sebelum ini, wujud percaturan politik yang juga dinamakan sebagai Langkah Dubai iaitu satu cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipercayai mahu dilaksanakan pada akhir bulan lalu.
Namun komplot diusahakan di bandar terbesar Emiriah Arab Bersatu itu yang sepatutnya dicapai pada 1 Januari lalu dikatakan gagal apabila ditolak oleh tokoh tertentu.
Al-Sultan Abdullah sudah bersemayam sebagai Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 sejak 2019 dan tempoh pemerintahannya bakal berakhir pada bulan ini.
BACA LAGI: Agong titah untuk semua universiti promosikan perpaduan dalam pendidikan
Terdahulu, baginda pernah menzahirkan harapan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka.
Sementara itu melalui kenyataan sama Anwar menegaskan seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.
Perkara itu dipercayai merujuk dakwaan pihak tertentu yang mengatakan ada pihak cuba menggunakan politik wang untuk menjatuhkan kedudukan Anwar selaku peneraju Kerajaan Perpaduan hari ini.