Semasa

DNB, MDEC, Cybersecurity dipindahkan ke Kementerian Digital – Fahmi

Digital Nasional Bhd (DNB) yang merupakan syarikat tunggal mengendalikan agenda 5G negara dipindahkan ke Kementerian Digital.

Perkara itu dinyatakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebagai mengulas rombakan Jemaah Menteri bulan lalu yang menyaksikan Kementerian Komunikasi dan Digital dibahagikan kepada dua, dengan beliau menerajui Kementerian Komunikasi manakala Gobind Singh Deo memimpin Kementerian Digital.

Bercakap pada satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu, Fahmi turut memaklumkan Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Cybersecurity Malaysia juga dipindahkan ke Kementerian Komunikasi

“Sukacita saya maklumkan beberapa keputusan telah diambil hari ini (Rabu), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kekal bersama Kementerian Komunikasi, MAMPU, MDEC, DNB, Cybersecurity Malaysia dipindahkan Kementerian Digital.

“Sebelum ini, Cybersecurity dimaklumkan diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi Perdana Menteri telah setuju aspek korporat kerja-kerja berkaitan syarikat swasta diboleh teruskan dan sesuai diletakkan di bawah Kementerian Digital cuma perlu ada sedikit penjenamaan agar tidak perlu salah faham aspek keselamatan siber,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MIMOS Berhad yang dipindahkan ke Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini kembali ke JPM.

“Berkenaan dengan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) ada perbincangan yang akan diadakan selepas Menteri Perpaduan Negara dapat maklum balas orang ramai dan juga pihak berkepentingan dan Perdana Menteri setuju untuk bincang semula dan untuk MITRA, akan dibincangkan kemudian,” jelasnya.

BACA LAGI: Kerajaan agresif harungi saingan digital, pastikan Malaysia tak ketinggalan

Perdana menteri semasa majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Isnin lalu berkata Kementerian Digital diwujudkan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan pantas transformasi digital.

Malaysia jelasnya tidak akan mampu bersaing dengan pantas tanpa memberi fokus dalam bidang tersebut.

Related Articles

Back to top button