Semasa

Langkah pelarasan semula subsidi perlu bagi memastikan mereka yang berhak dapat manfaat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali menegaskan langkah kerajaan untuk menyelaras semula subsidi adalah perlu.

Melalui satu kenyataan pada Rabu, Armizan berkata ia bagi memberi manfaat kepada mereka yang berhak, bukan digunakan oleh pihak lain sehingga memberi kesan kepada kerajaan yang membayar subsidi.

“Amalan sejak dulu tidak ada larangan kepada warga asing beli minyak masak bersubsidi di pasaran runcit. Inilah kesan pemberian subsidi pukal sama seperti minyak petrol dan diesel di stesyen minyak.

“Itu sebabnya penyasaran semula subsidi perlu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu tambahnya, Kerajaan Persekutuan komited untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar yang akan hadir bersama jaminan bantuan sosial termasuk bantuan tunai subsidi bersasar.

Dasar subsidi bersasar tegasnya tidak bermaksud bahawa subsidi akan ditarik sepenuhnya, sebaliknya ia melibatkan reformasi dalam pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.

Berikutan itu, beliau menggesa orang ramai untuk membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah dilancarkan Perdana Menteri pada 2 Januari lalu.

BACA LAGI: PADU mudahkan kerajaan rangka dasar sesuai bantu rakyat

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta Kerajaan Negeri.

Ia bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti rakyat yang benar-benar layak untuk menerima subsidi bersasar termasuk bagi memudahkan kerajaan merancang dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Related Articles

Back to top button