Sukan

Liga Malaysia: Negeri Sembilan sambut baik tawaran geran oleh KBS

Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik tawaran geran bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput di stadium negeri-negeri yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan yang secara dasarnya bersetuju dengan tawaran tersebut.

“Kos penyelenggaraan padang kira-kira RM300,000 setahun jika kita ganti padang, ini jumlah besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri, stadium hanya digunakan untuk bola sepak berbanding di Bukit Jalil banyak program boleh digunakan, ini berbeza di negeri, ini kekangan yang dihadapi.

“Tadi juga dibincangkan dan kami pada dasarnya apabila menerima tawaran tersebut bersetuju, jadi kami rasa akan pertimbangkan dan akan lihat keperluan sebenar,” kata Aminuddin kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

BACA LAGI: KBS salur geran untuk setiap negeri, naik taraf rumput dan sistem saliran venue Liga Malaysia

Terdahulu pada Selasa, Menteri KBS Hannah Yeoh memaklumkan bahawa pihak kementerian menawarkan pemberian geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput bagi membantu pasukan menyediakan venue yang lebih baik dan tidak mengganggu perjalanan musim baharu Liga Malaysia.

Jelasnya, daripada jumlah itu RM300,000 adalah untuk naik taraf saliran dan selebihnya untuk geran penanaman rumput yang dibayar kepada negeri.

Malah setiap negeri yang mengambil geran itu, pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berbesar hati untuk mengurniakan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada setiap pasukan bagi menampung kos penyelenggaraannya.

Related Articles

Back to top button