Negeri

Perak berjaya rekod lebihan pendapatan RM62.4 juta sepanjang tempoh 2023

Kerajaan negeri Perak berjaya merekodkan lebihan pendapatan berjumlah RM62.4 juta sepanjang tempoh 2023 berbanding RM29.6 juta yang dicatatkan pada 2022.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia merupakan jumlah tertinggi dicatatkan dalam sejarah negeri.

“Pada suatu ketika kita pernah melalui episod hitam merekodkan defisit mencecah RM78.01 juta iaitu pada tahun 2020, dan defisit RM6.59 juta pada 2021 akibat serangan Covid-19.

“Namun, kita telah berupaya bangkit untuk kembali mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2022 dan 2023. Maknanya, kita dapat buat kutipan dan menguruskan perbelanjaan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap sempena Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2024 di Hotel Casuarina@Meru di Ipoh, semalam yang turut dihadiri lebih 700 penjawat awam.

Saarani berkata prestasi kewangan negeri juga menunjukkan pengukuhan yang memberangsangkan apabila mencatatkan jumlah RM1.21 bilion sepanjang tempoh tahun lepas.

“Ia merupakan angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah dan 107.06 peratus lebih tinggi berbanding sasaran yang ditetapkan bagi tahun lalu.

“Kadar inflasi kita terus merekodkan tren penurunan daripada 2.2 peratus pada Oktober lalu kepada 1.9 peratus pada November 2023 manakala kadar penembusan tenaga kerja bagi suku ketiga 2023 juga berada pada angka positif iaitu 64.8 peratus,” katanya.

Related Articles

Back to top button