Global

PM Anwar dijadualkan hadir saksikan MOU Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura hari ini

Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong yang dijadualkan hari ini dianggap satu lagi peristiwa penting dalam hubungan kedua hala negara.

Kedua-dua pemimpin akan mempunyai jadual yang sibuk dimana mereka dijangka akan menghadiri dua majlis peringkat tinggi yang mempunyai kepentingan kedua belah pihak.

Pada pertemuan itu, mereka dijadual melawat projek Sistem Transit Aliran (RTS LINK) di Johor Baharu untuk diberikan taklimat mengenai maklumat terkini kemajuan projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer antara Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.

BACA LAGI: Kajian daya maju ekosistem SEZ Malaysia-Singapura sedang dijalankan

Selain RTS, Anwar dan Hsien Loong kemudiannya akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura.

Penubuhan zon itu dicetuskan oleh Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli selepas pertemuan dengan kerajaan negeri Johor di Iskandar Puteri pada Mei tahun lepas dan dua bulan selepasnya (Julai) kedua-dua negara bersetuju untuk mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji daya maju penubuhan zon ekonomi khas tersebut.

Singapura yang merupakan pelabur asing kedua terbesar di negeri itu, menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Johor dalam sektor pembuatan.

Pewujudan zon ekonomi baharu itu bukan sahaja dijangka akan mengukuhkan lagi aktiviti perdagangan dan perniagaan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura tetapi juga bakal menjadi hab ekonomi menarik di rantau Asia.

Related Articles

Back to top button