Semasa

PM Anwar mahu Jemaah Menteri bekerja secara berpasukan, fokus kepada pentadbiran

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar semua Jemaah Menteri dapat mengamalkan konsep bekerja secara berpasukan, termasuk dalam perkara menjawab soalan-soalan di Parlimen.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

“Perdana menteri tegaskan konsep bekerja sebagai satu pasukan dalam menjawab soalan di Parlimen. Sebagai contoh apabila saya tak boleh menjawab atau tiada di Parlimen ketika itu, Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) yang akan menjawab.

“Bagi isu hal ehwal Sabah dan Sarawak, yang akan menjawabnya adalah Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri) dan jika beliau tidak boleh menjawab atau tidak berada di Parlimen, maka ia akan dijawab Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, ( Datuk Ewon Benedick).

“Jika beliau tidak ada, akan dijawab oleh Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Dagang), jika ketiga-tiga menteri tidak ada, maka Timbalan kepada Fadillah akan menjawab,” jelas Fahmi dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, bagi isu Felda, Jemaah Menteri memutuskan supaya ia akan dijawab oleh Ahmad Zahid.

“Sebelum ini isu FELDA dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tetapi mesyuarat hari ini memutuskan supaya ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Sekiranya beliau tidak berada di Parlimen atau tidak dapat menjawab, (isu Felda) akan dijawab oleh timbalan beliau (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang),” jelas Fahmi.

BACA LAGI: Pentadbiran Anwar telah buktikan kemampuan bersatu, fokus isu rakyat

Fahmi sementara itu memaklumkan Perdana Menteri telah merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di atas kejayaan menangani kes Sulu.

Kerajaan pula jelasnya akan memfokuskan usaha memastikan pelaksanaan dasar-dasar yang diumumkan Kerajaan Perpaduan termasuk Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar Gaji Progresif dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), direalisasikan.

“Mesej-mesej perdana menteri kepada Jemaah Menteri sangat jelas, kita fokus kepada isu pentadbiran dan Insya Allah semua akan berjalan dengan baik,” katanya.

Related Articles

Back to top button