Semasa

Saifuddin umum pelantikan lima ahli IPCC, Zolkopli Dahalan dilantik Pengerusi

Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pelantikan lima daripada tujuh ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Menerusi sidang akhbar khas pada Rabu, Saifuddin memaklumkan bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zolkopli Dahalan dilantik sebagai Pengerusi suruhanjaya itu.

Selain Zolkopli, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi, yang sebelum ini menerajui Lembaga Penasihat JPM turut dilantik sebagai timbalan pengerusi IPCC.

Menurutnya, IPCC bertindak sebagai badan pemantau bebas PDRM dari aspek siasatan aduan salah laku yang melibatkan integriti pasukan tersebut yang turut akan menasihati kerajaan mengenai perkara berkaitan dengan integriti pasukan polis.

“Penubuhan IPCC merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan persepsi atau salah faham masyarakat umum terhadap Integriti dan kredibiliti pasukan PDRM,” katanya.

Selain itu Akta IPCC meletakkan peranan suruhanjaya itu sebagai ‘mandatory referral’ yang mewajibkan pasukan polis untuk merujuk kes melibatkan jenayah seksual, cedera parah atau kematian dalam tahanan.

“Saya percaya IPCC akan meningkatkan integriti anggota polis,” tambah Saifuddin.

BACA LAGI: KDN lulus RM150 juta untuk pembinaan IPD Kalabakan 

Selain Zolkopli dan Mohamad Jazamuddin, tiga ahli lain yang dilantik terdiri daripada bekas timbalan pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdullah; bekas pengarah kanan SPRM Tan Kang Sai; dan bekas pengarah bahagian audit kewangan di Jabatan Audit Negara Martina @ Kartina Zamhari.

Saifuddin berkata, dua lagi tempat dalam suruhanjaya itu akan diisi apabila tiba masanya.

Related Articles

Back to top button