Bas Rapid tingkat mutu perkhidmatan, galak orang ramai guna pengangkutan awam
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) komited dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya melalui pelan transformasi 2021 yang diperkenalkan untuk menggalakkan lebih ramai orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yazurin Sallij berkata, selari dengan perkara tersebut, terdapat beberapa perkara utama yang harus diberi penekanan antaranya aset bas yang semakin menua, kekangan tenaga kerja kapten bas serta pertukaran mod pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat.
“Rapid Bus mempunyai lebih 1,000 bas untuk dioperasikan namun yang bergerak di Kuala Lumpur adalah sebanyak 915 bas. Perancangan tahunan insya-Allah kita akan tambah lagi.
“Pengoperasian bas di jalan raya juga sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor kekangan tenaga kerja bas kapten di mana ia menjadi permasalahan utama pihak kami.
“Ramai yang lebih memilih untuk memandu Grab sekarang kerana prosesnya lebih mudah dan tahap stres juga kurang. Menjadi kapten bas perlu mementingkan servis terhadap penumpang dan perlu lebih berhati-hati memandangkan kita membawa jumlah penumpang yang ramai,” katanya dipetik laporan WilayahKu.
Sungguhpun jumlah kapten bas di jalan raya berkurangan, namun Yazurin berkata pihaknya telah melatih kira kira lebih 780 bas kapten dan daripada jumlah itu hanya 160 sahaja di dalam akademik.
Selain itu, Yazurin memberitahu pihaknya juga akan mempertingkatkan langkah bagi menarik minat masyarakat untuk menaiki bas kerana ia boleh membantu mengurangkan penggunaan kenderaan di jalan raya khususnya di kawasan tumpuan di samping mempercepatkan masa perjalanan.
“Berdasarkan statistik yang pernah diterima oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebelum pandemik jumlah kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur adalah sebanyak 4.5 juta tetapi setelah pandemik, ia bertambah menjadi enam juta kenderaan.
“Kebanyakan masyarakat masa kini melihat sekiranya dia menaiki bas di dalam kesesakan lalu lintas yang sama dengan kenderaan lain, berkemungkinan bas tersebut lebih lambat berbanding dengan kenderaan sendiri kerana mereka perlu tunggu dan berhenti di laluan tertentu.
“Jadi itulah antara fokus yang kita cuba tambah baik. Malah melalui aplikasi PULSE yang kita laksanakan, orang ramai amat digalakkan untuk merancang perjalanan terlebih dahulu sebelum menaiki bas,” katanya projek percubaan lorong bas di laluan Ampang dan Genting Klang mendapat sambutan menggalakkan.