Kenyataan Hassan Karim bukti MP KEADILAN yakin dengan Perdana Menteri – Taufiq Johari
Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari menegaskan bahawa wakil rakyat kerajaan terutama dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yakin terhadap sokongan dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Taufiq dipetik laporan Malaysiakini menyokong kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim sebelum ini yang menegaskan sokongan terhadap perdana menteri wajar diputuskan melalui undi percaya di Dewan Rakyat bukan berdasarkan akuan berkanun.
Malah tambahnya, Anwar sendiri sudah membuktikan beliau memperoleh sokongan dalam parlimen sejurus mengangkat sumpah tahun lepas.
“Kami ahli-ahli parlimen KEADILAN berpuas hati dengan kepimpinan PMX dan jemaah menterinya dan akan berdiri teguh mempertahankan kerajaan perpaduan-Malaysia Madani.
“Jadi sekiranya benar pembangkang menyatakan PMX sudah hilang majoriti, sila guna saluran dan pembuktian yang sama iaitu di parlimen,” katanya dipetik.
BACA LAGI:Perdana Menteri cabar pembangkang bawa usul tak percaya di Dewan Rakyat
Sebagai rekod, Hassan Karim menggesa pembangkang supaya segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim sebelum mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat mula bersidang pada 26 Februari depan.
Ia susulan naratif dimainkan pembangkang terutama oleh seorang penulis blog yang melarikan diri dan kini dalam buangan, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa bahawa Perikatan Nasional (PN) telah berjaya memperoleh sekitar 120 akuan berkanun (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar Ibrahim.
Anwar ketika ditemuai pemberita di Iskandar Puteri semalam turut mencabar pembangkang mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat.
Menyifatkan naratif itu sekadar propaganda untuk menipu penyokong supaya tak hilang semangat, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menegaskan pentadbirannya sudah memberi peluang kepada usul tidak percaya dibuat namun langkah itu tidak pernah dilakukan pembangkang sejak setahun lalu.