Uncategorized

Kerugian besar apabila tidak libatkan golongan belia dalam institusi keagamaan – Sultan Nazrin

Tenaga dinamik golongan belia perlu dimanfaatkan bagi tujuan membangunkan masyarakat dan negara termasuk melibatkan golongan berkenaan dalam institusi keagamaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah adalah satu kerugian besar kepada negara jika tenaga yang sangat dinamik tidak diempang secara produktif untuk menjana tenaga konstruktif termasuk menyuarakan idea di luar kotak.

“Bermula penggal perkhidmatan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, MAIPk 2021-2023, beta telah memperkenankan lantikan dua orang anggota daripada kalangan belia serta memperkenankan lantikan wakil belia dalam Jawatankuasa Baitul Mal negeri dan daerah.

“Alhamdulillah, wakil belia yang diberikan amanah telah membuktikan dinamisme penyertaan mereka, masjid mula diperkaya dengan kegiatan riadah, sukan dan seni silat, juga program pendidikan serta ekonomi,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan anggota MAIPk bagi penggal 2024-2025 dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Ipoh.

Baginda juga percaya lantikan pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri bersama presiden Majlis Belia Negeri sebagai anggota MAIPk berupaya memperkenalkan pelbagai langkah inovasi yang berupaya menarik minat dan meningkatkan penyertaan lebih ramai belia dalam program keagamaan serta kehadiran belia untuk mengimarahkan masjid.

“Program kreatif yang dapat menarik minat belia terutama di luar bandar dan dalam kawasan FELDA dan FELCRA akan berperanan sebagai usaha preventif yang dapat melindungi para belia daripada terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat,” titah Sultan Nazrin.

Baginda turut bersetuju dengan cadangan seperti penganjuran pertandingan e-sukan oleh masjid di kariah masing-masing yang dicadangkan oleh wakil belia pada Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak, 25 November tahun lalu.

Titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah lagi, pelantikan Peguam Syarie di Perak kini tidak lagi perlu melalui ujian dan temu duga malah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa berkaitan untuk diperakukan boleh beramal.

Langkah berkenaan dipercayai akan memudahkan hasrat para peguam syarie yang mahu melakukan amalan guaman di negeri Perak, di samping memberikan manfaat kepada anak guaman mempunyai pilihan mendapatkan khidmat guaman syarie lebih luas.

“Menyahut titah nasihat Beta, bermula 18 Oktober 2023, Jawatankuasa berkenaan telah memperakukan tatacara penerimaan peguam syarie menurut Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, yang membolehkan mana-mana orang yang berkelayakan, yang telah memiliki sijil amalan guaman syarie di mana-mana negeri, diterima untuk beramal di negeri Perak tanpa lagi perlu melalui ujian dan temu duga.

“Kini, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa berkaitan untuk diperakukan boleh beramal sebagai peguam syarie di negeri Perak”, titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis bagi penggal 2024-2025 serta Majlis Penyerahan Zakat di Kompleks Islam Darul Ridzuan Ipoh.

Sebelum ini, Kaedah-kaedah Peguam Syarie Perak (2003) mensyaratkan seseorang yang berhasrat menjadi pengamal peguam syarie di negeri Perak memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf, perlu menjalani peperiksaan atau temu duga yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penerimaan Peguam Syarie.

Related Articles

Back to top button