Semasa

Malaysia boleh jadi negara maju, namun rasuah mesti dihapuskan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia sebenarnya mampu bangkit menjadi sebuah negara yang maju.

Berucap pada Sesi Lawatan dan Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, Johor pada Khamis, Anwar bagaimanapun menegaskan bagi tujuan itu amalan lama yang merugikan negara perlu dihentikan.

“Inilah dasar yang kira sentuh dalam Madani. Apa ciri yang memungkinkan kita untuk diangkat sebagai negara maju dan cemerlang?

“Sudah tentu punya daya tahan untuk mengangkat negara agar dikagumi dunia. Tentunya, ekonomi juga harus mampan. Pengurusan juga harus cekap.

“Amalan lapuk, salah guna, ambil kesempatan, menerima sogokan, kayakan diri dan keluarga…amalan yang telah menyebabkan Malaysia kecundang dalam banyak hal, itu mesti dihentikan,” tegas beliau yang juga Menteri Kewangan.

Anwar juga berkata, akibat berbilion ringgit peruntukan untuk membaiki sekolah, hospital, menyediakan rumah untuk rakyat hilang ‘dicuri’, yang akan menanggung kerugian akhirnya adalah rakyat.

Justeru itu beliau tidak mahu rakyat di negara ini menganggap masalah rasuah sebagai isu yang kecil.

BACA LAGI: PM Anwar ulangi ketegasan tidak kompromi soal rasuah

Mengulas usaha memerangi rasuah yang dijalankan pentadbirannya, Anwar berkata beliau memulakan usaha memerangi rasuah di negara ini dengan menekan golongan ‘jerung’ dan bukannya ‘ikan bilis’.

“Saya tidak mahu mula memerangi rasuah dengan menekan yang di bawah.

“Tetapi janganlah sesetengah orang anggap ini soal pihak tertentu dan sebagainya kerana ini akan memberikan gambaran seolah-olah ada orang yang ‘jerung-jerung’ besar terlepas.

“Orang kalau dia tidak salah, tidak perlu bimbang…kerana siasatan itu teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti kukuh,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button