Uncategorized

‘Mangsa banjir perlu banyak bersabar sepanjang berada di PPS’ – Agong

Mangsa banjir diingatkan supaya tidak cepat menghukum dan memburukkan kerajaan jika berlaku apa juga kekurangan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan, kerajaan sentiasa berusaha membantu dan memberi yang terbaik kepada setiap mangsa banjir, tidak ada istilah mengambil mudah dalam menguruskan pihak terbabit.

“Mangsa banjir perlu banyak bersabar sepanjang berada di PPS… sebagai contoh kalau makanan lewat sedikit sampai janganlah buat bising menyalahkan petugas yang sudah melakukan sebaik mungkin.

“Dalam keadaan ditimpa bencana banjir mereka terbabit perlu lebih banyak bersyukur dengan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan. Saya difahamkan makanan di PPS sedap… tidak ada lagi ikan sardin seperti sebelum ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya, dekat Pekan, Pahang, semalam.

Baginda turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali.

Pada masa sama, baginda menasihati mangsa banjir sentiasa menjaga kebersihan di persekitaran PPS terutama tandas bagi mengelakkan penyakit berjangkit yang akan mudah merebak.

“Saya mengingatkan ketika kita berada di PPS ini, saya harap kita secara bersama-sama menjaga kebersihan dan tidak meletakkan tugas menjaga kebersihan pada pihak lain.

“Wabak Covid-19 masih lagi berada di negara kita. Kita tidak mahu penyakit lain pula. Sebab itu diingatkan supaya kebersihan di persekitaran di PPS, khususnya dalam bilik air.

“Saya juga berharap mangsa banjir setiap hari terus berdoa supaya cepat surut dan boleh pulang ke rumah masing-masing, meneruskan aktiviti harian seperti biasa,” titah baginda.

Pada majlis itu baginda turut mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak dan warga emas yang menjadi mangsa banjir.

Pada malam harinya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Forum Perdana Ehwal Islam Diraja di Istana Negara.

Forum bertajuk ‘Institusi Diraja Penyatuan Ummah’ tersebut dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Istana Negara bagi meningkatkan dan menyuburkan kefahaman masyarakat bahawa institusi diraja ialah simbol menyatukan ummah dalam kalangan komuniti yang berbeza dan pelbagai.

Related Articles

Back to top button