Semasa

MCMC sokong komitmen kerajaan pastikan tiada caj tambahan untuk akses rangkaian 5G

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyokong penuh komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih tidak mengenakan caj tambahan bagi akses kepada rangkaian 5G.

MCMC berkata, pengumuman berhubung perkara itu oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Selasa lepas adalah selari dengan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan akses teknologi telekomunikasi canggih yang adil dan saksama buat seluruh rakyat Malaysia.

“MCMC menyokong penuh komitmen kerajaan dan akan memastikan setiap penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih mematuhi komitmen yang sudah dinyatakan,” kata suruhanjaya itu melalui satu kenyataan.

BACA LAGI: Syarikat telco kenakan bayaran tambahan untuk akses 5G bakal berdepan tindakan

Selasa lalu, Fahmi pada satu sidang media selepas sesi ujian kualiti perkhidmatan selular (panggilan suara) di sini, mengumumkan tiada bayaran tambahan akan dikenakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna untuk mendapatkan akses rangkaian 5G.

Sementara itu MCMC berkata, sekiranya terdapat aduan berhubung caj akses 5G, pengguna boleh menyalurkannya menerusi Portal Pengguna MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my atau hubungi talian 1-800-188-030.

Melalui kenyataan sama suruhanjaya itu menegaskan, pihaknya akan memastikan setiap penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih mematuhi komitmen yang telah dinyatakan.

Suruhanjaya itu memaklumkan setakat 31 Dis lepas, perkhidmatan rangkaian 5G telah berjaya mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Related Articles

Back to top button