Parlimen

Parlimen Malaysia nyata sokongan terhadap Palestin di mesyuarat PUIC

Parlimen Malaysia telah menyatakan sokongan terhadap perjuangan dan hak rakyat Palestin termasuk pembentukan negara Palestin yang berkerajaan sendiri dan beroutonomi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor berkata, pendirian itu dinyatakan ketika mesyuarat Kesatuan Parlimen Negara Anggota OIC (PUIC) bagi Jawatankuasa Tetap Palestin di Tehran, Iran pada Khamis.

“Parlimen Malaysia bersungguh-sungguh menyokong perjuangan Palestin. Parlimen dan kerajaan Malaysia juga akan menggunakan semua cara yang ada untuk menguatkan suara dan melindungi hak mereka,” menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,

Kenyataan itu menyebut mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari serta wakil Parlimen dari 26 negara membabitkan 54 negara anggota PUIC.

Tambah kenyataan itu lagi, Ramli turut memaklumkan mesyuarat bahawa Malaysia baru-baru ini menyatakan kecaman sekeras-kerasnya terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsar-Bangsa Bersatu (PBB) yang berterusan oleh Israel.

BACA LAGI: Kaukus Palestin Parlimen Malaysia desak AS, EU dan British henti bantu tentera Rejim Israel

Parlimen Malaysia turut mewujudkan Kaukus Palestin yang dipengerusikan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh sebagai tindak balas kepada konflik yang berterusan di Gaza.

Melalui kaukus itu, Parlimen Malaysia telah menggunakan saluran diplomatik dengan menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, sekali gus menunjukkan komitmen Parlimen Malaysia menyatakan kebimbangan dan tuntutan Malaysia berhubung situasi di Gaza.

Melalui kenyataan sama, Parlimen Malaysia pada mesyuarat itu turut menyeru seluruh anggota PUIC untuk terus menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin.

Related Articles

Back to top button