Anwar

PM Anwar baru terima, akan teliti laporan terkait HSR

Kerajaan akan meneliti kesan langsung susulan sebuah firma daripada Jepun menarik diri daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau baru sahaja menerima laporan itu hari ini.

“Saya akan teliti perkara itu. Saya baru terima laporannya,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hijrah di Persiaran Desa Pinggiran Putra, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membina projek HSR membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid al Hijrah Kajang, Selangor.

Sejurus tiba di masjid, beliau bersama kira-kira 1,000 jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Binalah Kasih Sayang Dengan Ukhuwah” yang disampaikan oleh Ustaz Dr Mohd Hafizi Sulaiman.

Selesai solat, Perdana Menteri meluangkan masa menyantuni jemaah serta kanak-kanak di situ.

Sebelum itu, Anwar menikmati makan tengah hari bersama rakyat setempat di sebuah restoran bersama warga setempat di Kajang.

Related Articles

Back to top button