Nasional

Polis rakam keterangan empat individu, 145 laporan terkait ‘Langkah Dubai’

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini merakamkan keterangan empat individu berkaitan isu ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah pempengaruh media sosial Badrul Hisham Shaharin atau Che’Gu Bard, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo serta ‘blogger’, Salim Iskandar.

Individu keempat adalah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan perkembangan itu.

“Seramai empat individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung Langkah Dubai hari ini,” katanya memetik laporan BH Online.

Shuhaily turut mengesahkan pihaknya sudah menerima 145 laporan di seluruh negara berhubung gerakan isu ‘Langkah Dubai itu.

Dalam perkembangan lain, PDRM setakat ini selesai merakam percakapan seramai 51 individu bagi membantu siasatan berkaitan isu campur tangan hal ehwal agama Islam.

Beliau berkata, siasatan berkait kes itu masih diteruskan dan proses rakam keterangan ke atas indvidu lain yang dikenal pasti dapat membantu siasatan akan disambung.

“Setakat ini seramai 51 saksi telah dirakam percakapan bagi siasatan ini.

“Kita juga telah membuat temu janji untuk mengambil keterangan pihak media yang menyiarkan berita berkenaan pada 15 Januari ini (Isnin depan),” katanya.

Shuhaily berkata, siasatan berhubung kes ini dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman.

Related Articles

Back to top button