Nasional

APAD keluar lesen bas ekspres tambahan sempena Tahun Baru Cina

Permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi perkhidmatan bas ekspres bersempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 10 dan 11 Februari depan akan dibuka.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan, langkah berkenaan diambil bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi dan dapat menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan.

Memperincikan syarat permohonan, APAD berkata, ia dibuka kepada semua pengendali bas yang layak bermula Isnin ini hingga 5 Februari depan.

Tempoh sah laku LPS bagi permohonan yang diluluskan berkuat kuasa mulai 7 hingga 18 Februari 2024.

“Pengendali yang memohon LPS perlu mematuhi ketetapan syarat pengendali bas ekspres, iaitu mematuhi dasar dan spesifikasi bas ekspres, bas terbabit mesti dilengkapi sistem GPS dan had usia kenderaan tidak melebihi 10 tahun.

“Permohonan juga terhad kepada jenis perkhidmatan ekonomi sahaja manakala bagi bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan telah mendapat kelulusan Laporan Puspakom VR1 Khas (Kod 9009), adalah dibenarkan memohon,” katanya.

Jelasnya, permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat boleh dikemukakan ke semua Pejabat Wilayah dan kaunter APAD di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, APAD mempelawa semua pengendali bas ekspres yang berminat untuk membuat permohonan sekali gus memberikan perkhidmatan yang lancar sepanjang cuti ketika perayaan terbabit.

Related Articles

Back to top button