Semasa

Kod Sukan Selamat dilaksana di semua sekolah mulai tahun ini – Adam Adli

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksana Kod Sukan Selamat di semua sekolah arus perdana pada tahun ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata, langkah itu memandangkan terdapat kumpulan besar yang terlibat dengan aktiviti sukan di peringkat sekolah, selain kod tersebut sudah diperluaskan ke sekolah sukan dan universiti menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) serta institusi pengajian tinggi (IPT) tahun lepas.

“Sekolah ada kumpulan yang besar terlibat dengan sukan. Di sekolah ada atlet, guru, ibu bapa dan jurulatih, jadi Kod Sukan Selamat menjadi panduan perlu diperkembangkan dalam masyarakat secara lebih berkesan.

“Apabila kod ini berjaya diperkenalkan di sekolah, kita mahu ia dilaksanakan untuk aktiviti kokurikulum, pendidikan jasmani dan kesihatan,” katanya.

Adam Adli berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Kebangsaan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kajang pada Jumaat.

BACA LAGI: Fadhlina minta sekolah pantau harga makanan di kantin

Kod Sukan Selamat merupakan garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan serta penderaan dalam apa-apa acara, pertandingan dan kejohanan sukan.

Ia diperkenal Mac lepas susulan komitmen kesemua Exco Belia dan Sukan negeri yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan kod berkenaan.

Related Articles

Back to top button