Semasa

Rasuah RM1 bilion guling kerajaan: Polis buka kertas siasatan

Pihak berkuasa polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan cubaan memberi rasuah kepada individu berpengaruh dan Ahli Parlimen untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak empat laporan polis telah diterima berhubung isu ini setakat ini.

Justeru satu kertas siasatan dibuka oleh PDRM di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu proses siasatan.

“PDRM turut mengingatkan orang ramai tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak-pihak yang memanipulasi isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sebuah blog mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang juga seorang Ahli Parlimen, telah menyediakan dana sejumlah RM1 bilion untuk memberi rasuah kepada Ahli Parlimen kerajaan agar menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA LAGI: Langkah Dubai: Cukuplah pembangkang, jangan buat tindakan tak untungkan negara

Ia selepas spekulasi muncul mengenai “Langkah Dubai” yang merujuk kepada perbincangan yang didakwa berlaku di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendakwa “Langkah Dubai” turut pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata, PDRM telah merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’

Selain Ismail Yusop, tiga yang lain adalah pempengaruh media sosial pro PN iaitu Badrul Hisham Shaharin atau Che’Gu Bard, Wan Muhammad Azri (Papagomo), Salim Iskandar (Parpukari).

Related Articles

Back to top button