Semasa

Shamsul Iskandar tuntut ganti rugi RM 5 juta dari Chegubard

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menuntut pemimpin Perikatan Nasional (PN), Badrul Hisham Shaharin memohon maaf tanpa syarat berhubung hantaran berunsur fitnah di Facebook yang mendakwa beliau terlibat penyelewengan dana awam.

Menurut peguam Datuk SN Nair, pihaknya telah menghantar notis tuntutan terhadap Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard pada Jumaat.

Melalui tuntutan itu anak guamnya menuntut Chegubard menarik balik hantaran di Facebook itu dengan serta-merta dan memadamkan komen yang menyinggung perasaan dan bersifat memfitnah.

Selain itu, anak guamnya juga menuntut aku janji bertulis daripada Chegubard, untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam hantaran Facebook tersebut.

“Sekiranya anak guam saya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari daripada tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memohon suatu perintah injunksi dan meneruskan tindakan perundangan terhadap Badrul Hisham.

“Anak guam kami juga mengarahkan kami untuk menuntut ganti rugi atau pampasan RM5 juta daripada Badrul Hisham atas kecederaan teruk dilakukan ke atas reputasi anak guam,” kata peguam itu.

BACA LAGI: Shamsul Iskandar lapor polis terhadap Chegubard, didakwa seleweng dana NGO

Chegubard didakwa pada 5 Januari lalu telah menerbitkan atau menyebabkan penerbitan melalui akaun Facebooknya merupakan kenyataan-kenyataan fitnah yang membawa maksud, antaranya Shamsul Iskandar telah menyalahgunakan kuasa sebagai Setiausaha Politik Kanan perdana menteri, melakukan penyelewengan dana awam, seorang yang tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.

“Selain itu, kenyataan tersebut membawa maksud anak guam kami (Shamsul Iskandar) seorang yang korup dan telah melakukan jenayah, seorang yang licik dan menggunakan taktik kotor, seorang yang memanipulasikan orang lain serta tamak,” kata Nair.

Menurut Nair, kenyataan fitnah itu tidak benar, berniat jahat serta penyelewengan fakta yang menunjukkan ketidakwajaran moral dan undang-undang di pihak anak guamnya.

Hantaran itu juga tegasnya dilakukan dalam usaha untuk mencari publisiti murahan untuk meraih manfaat dan tujuan politik.

Related Articles

Back to top button