Semasa

JPM bakal perkasa program pengimarahan masjid tahun ini

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memperkasakan program pengimarahan masjid pada tahun ini.

Timbalan Menterinya Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu termasuk dengan mengadakan program semarak subuh dan pelbagai program dengan pengisian yang bermanfaat bertujuan untuk menjadikan masjid sebagai nadi utama umat Islam.

Justeru jelasnya, pihaknya turut menggalakkan dan menyokong sebarang usaha mengimarahkan masjid seperti ‘#GengSubuhMacamJumaat’ yang digerakkan selebriti Alif Satar serta inisiatif kerajaan Johor yang mengadakan Program Semarak Subuh.

“Di peringkat kementerian, kita sangat menggalakkan dan menyokong gerakan atau usaha untuk kebaikan masyarakat dan kita jua sudah ada perancangan semarak subuh serta pengimarahan masjid.

“Kita boleh lihat bagaimana seorang selebriti seperti Alif Satar mampu untuk tarik orang ramai solat subuh serta inisiatif Johor. Jadi, kita alu-alukan sesiapa sahaja yang mampu buat demikian sebab ini antara usaha dakwah dan penting agar ia berkesinambungan,” katanya.

BACA LAGI: Bina semula negara dengan adanya asas agama, akhlak dan nilai – PM Anwar

Dr Zulkifli sebelumnya ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan mangsa banjir di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru pada Sabtu.

Pada 3 Januari lalu, kira-kira 3,000 jemaah pelbagai lapisan menyertai kempen #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Selangor.

Usaha penyanyi dan pengacara, Alif Satar itu mendapat pujian ramai.

Related Articles

Back to top button