hiburan

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia tawar Tyzo bantu perkukuhkan jenama RTM

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengadakan pertemuan dengan penyampai radio, Tyzo, 47, bagi membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan untuk memperkukuhkan jenama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Suhaimi memaklumkan bahawa stesen penyiaran berkenaan sudah menyediakan beberapa projek yang bersesuaian untuk dikendalikan Tyzo.

“Saya ada tawarkan Tyzo bekerjasama dengan RTM menerusi beberapa platform seperti radio, televisyen dan digital, ikut kesesuaian pada pertemuan, pagi tadi.

“Saya ada juga risik apakah bentuk kandungan yang Tyzo suka dan dekat di hatinya.

“Kalau boleh biarlah kandungan yang bakal dikendalikannya mampu memberi manfaat kepada RTM dan misi memperkukuhkan jenama tercapai dengan bakat yang ada pada Tyzo.

“Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai tawaran akan diberitahu kemudian,” katanya memetik laporan BH Online.

Turut ditanya adakah tawaran dibuat disebabkan simpati dengan nasib Tyzo yang mendakwa dirinya dianiaya, Suhaimi menepis tanggapan nakal itu.

“Walaupun saya tahu apa yang berlaku, tetapi apa yang saya lakukan ini tiada kena mengena dengan perasaan simpati. Saya ajak jumpa, bukan Tyzo merayu nak dapatkan ‘job’.

“Saya sudah lama dalam industri dan saya boleh hidu tahap bakat seseorang hanya dengan melihatnya. Dalam hal Tyzo, kami yakin boleh lonjakan jenama RTM dengan aura yang ada pada dirinya.

“RTM terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja tanpa sebarang diskrimasni. Tiada istilah tak boleh bekerjasama dengan seseorang hanya kerana pernah bertugas dengan stesen penyiaran lain.

“Apa yang penting, individu yang bakal bekerjasama dengan RTM mampu membawa perubahan besar dalam kandungan yang bakal dikendalikan,” jelas Suhaimi.

Pada 7 Januari 2024, dalam hantaran di Facebook Tyzo Cander, Suhaimi telah mengadakan pertemuan dengannya di The Curve, Damansara.

“Ahad yang santai. Berkongsi banyak kisah dan cerita. Terima kasih Datuk belanja. Dari TTDI ke The Curve, 4 jam sembang penuh makna,” katanya.

Related Articles

Back to top button