PM Anwar, isteri tiba untuk Istiadat Persandingan Diraja Pengiran Muda Mateen di Brunei
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selamat tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan lawatan itu bagi memenuhi undangan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Istiadat Persandingan Diraja Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anisha Rosnah Adam yang akan berlangsung hari ini.
Perdana Menteri turut memuat naik video membaca doa selamat sebelum menaiki pesawat bersama Wan Azizah.
Pada Khamis lalu, Abdul Mateen dan Dayang Anisha selamat bernikah di Masjid Omar Ali Saifuddien dan hari ini akan berlangsung Istiadat Persandingan Diraja di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan disusuli Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin diraja pada Isnin.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan Brunei Darussalam.
Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi selamat mendarat di Bandar Seri Begawan pada 3.40 petang, semalam.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ke Brunei adalah atas persilaan Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.
Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat menghadiri Istiadat Persandingan DiRaja DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen ibni KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Dayang Anisha Rosnah binti Adam di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan 14 Januari 2024.
Seri Paduka Baginda berdua juga dijadualkan berangkat menghadiri Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin DiRaja tersebut di Istana Nurul Iman pada Isnin malam (15 Januari 2024).
Seri Paduka Baginda berdua akan berangkat pulang ke tanah air pada hari Selasa (16 Januari 2024).