Negeri

Polis akan terus gempur pendatang asing tanpa izin – Polis KL

Satu operasi susulan menggempur pendatang tanpa izin akan dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Beliau berkata, operasi besar-besaran berkenaan sama seperti yang dijalankan di Jalan Silang pada Disember tahun lepas.

“Kita tahu warga asing banyak, sama ada yang mempunyai dokumen atau tidak. Secara umumnya kebanyakan mereka yang bekerja memilik dokumen.

“Kita tidak nafikan terdapat mereka yang tidak mempunyai dokumen iaitu warga asing atau pendatang tanpa izin,” katanya ketika program jelajah mesra di Jalan Chow Kit, malam tadi.

Allaudeen berkata, program jelajah mesra di Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib itu diadakan susulan beberapa laporan yang kurang baik menerusi media berkaitan lokasi berkenaan.

“Alhamdulillah, hari ini kita tengok kawasan ini jauh lebih baik berbanding 20 tahun lepas. Kita telah bersihkan dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Kawasan sekitar Lorong Haji Taib di Jalan Chow Kit yang dipenuhi aktiviti tidak sihat dahulu, sudah berubah kepada aktiviti perniagaan lewat malam, katanya.

“Kini, kita tidak melihat lagi tawaran perkhidmatan seks, pengedaran dan penagihan dadah serta kebanjiran lelaki berpakaian wanita.

“Semua aktiviti tidak sihat ini sudah dibersihkan, hasil kerjasama Polis Kuala Lumpur dan agensi penguatkuasaan kerajaan berkaitan, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kewujudan Balai Polis Chow Kit di kawasan ini berperanan penting dalam memastikan kegiatan tidak sihat dapat dibanteras,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button