Semasa

2,251 usahawan di Perak terima pembiayaan TEKUN sepanjang tahun lalu

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) menyalurkan pinjaman mikro sebanyak RM604,659,200 kepada usahawan di negeri ini .

39,530 usahawan di negeri Perak telah menerima manfaat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) sejak penubuhannya pada 1998 sehingga Disember tahun lalu

Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata sejumlah RM604,659,200 pembiayaan pinjaman mikro telah disalurkan kepada usahawan terbabit bagi memberi peluang kepada usahawan memulakan perniagaan dan mengembangkan perusahaan ke peringkat lebih tinggi.

“Pada tahun lalu, di Ipoh sahaja, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM13,432,000 kepada 464 usahawan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan itu.

“Sebanyak RM71,947,000 telah disalurkan kepada 2,251 peminjam di Perak pada 2023 dan kami akan terus komited membantu usahawan negeri ini mengembangkan perniagaan mereka bukan hanya pinjaman kewangan tetapi khidmat nasihat dan jaringan perniagaan turut disediakan,” katanya melalui satu sidang media di Ipoh pada Ahad.

BACA LAGI: KUSKOP komited bantu usahawan PMKS kukuh rantaian nilai

Beliau sebelumnya mengadakan lawatan ke 10 premis usahawan di Pasar Besar Ipoh yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Datuk Adam Abdul Ghani.

Sementara itu Abdullah Sani memaklumkan, kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) TEKUN kini masih terkawal namun meminta usahawan yang menghadapi masalah membuat bayaran balik supaya datang berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

“Pada tahun lalu, kami pada kadar 12 peratus (pinjaman tidak berbayar) dan tahun ini kami sasarkan penurunan kepada angka tunggal seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Justeru, TEKUN kini proaktif untuk menggiatkan usaha mendapatkan balik pinjaman bagi membantu lebih ramai usahawan lain dan kami yakin ia dapat dicapai,” katanya.

Related Articles

Back to top button