Semasa

Cadangan akta penggal tetap bukan langkah terdesak – Azalina

Cadangan pengenalan akta penggal tetap yang dibuat Timbalan Perdana Menteri bukan langkah terdesak kerajaan mengekalkan kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata sebaliknya cadangan itu merupakan komitmen menghormati mandat pilihan raya, termasuk memastikan kestabilan politik negara.

“Usaha penggubalan satu akta Parlimen berpenggal tetap mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“…dalam menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini,” kata Azalina dalam satu kenyataan.

Sementara itu tambahnya, terdapat banyak negara mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan dan ekonomi serta menghalang cubaan rampasan kuasa.

“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” jelas Ahli Parlimen Pengarang itu.

BACA LAGI: Kerajaan pastikan Parlimen bebas dari kuasa eksekutif – PM Anwar

Justeru menurutnya, pihaknya juga akan menjalankan kajian terperinci berhubung cadangan itu , sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta Parlimen berpenggal tetap,” katanya dalam kenyaataan tersebut.

Related Articles

Back to top button