Semasa

Insentif tambang percuma untuk komuniti OKU bermula Febuari ini

Insentif tambang percuma untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) yang diumum Kementerian Pengangkutan (MOT) akhirnya direalisasikan.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan memperkenalkan pas langganan OKU Smile khusus untuk komuniti tersebut menikmati tambang percuma bermula Febuari ini.

Sehubungan itu Prasarana berkata, pengaktifan dan langganan pas OKU Smile akan bermula esok bagi semua pemegang kad konsesi OKU Prasarana sedia ada dan pemohon baharu.

Selain itu pihaknya juga akan mengadakan jelajah bagi memberi penerangan mengenai inisiatif itu.

“Prasarana akan mengadakan siri jelajah ke beberapa persatuan OKU bagi memberi penerangan berkaitan produk ini.

“Kaunter pendaftaran bergerak juga akan dibuka untuk memudahkan golongan ini memohon kad OKU Prasarana sepanjang siri jelajah tersebut,” menurut syarikat milik penuh kerajaan itu.

BACA LAGI: Kesusahan lelaki OKU dapat perhatian Isteri Perdana Menteri

Terdahulu Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 21 Disember lalu mengumumkan inisiatif tersebut.

Katanya, tambang percuma itu adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan untuk penumpang OKU.

Tambang percuma itu termasuk semua perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas.

Sementara itu Prasarana berkata, maklumat berkaitan pas OKU Smile boleh didapati di laman sesawang www.myrapid.com.my atau di platform media sosial Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

Pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL 03-78852585; Rapid Penang 04-255 8000 atau Rapid Kuantan 09-5663686/019-3858607 bagi sebarang pertanyaan.

Related Articles

Back to top button