Negeri

Lanskap politik Negeri Sembilan tambah kukuh lepas PRU-15

Kerajaan Negeri Sembilan kini bertambah kukuh dengan perubahan landskap politik negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15, kata Menteri Besar.

Datuk Seri Aminuddin Harun sempena ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-76 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Ahad berkata, wadah politik melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan telah mengakibatkan genjatan politik beberapa parti utama dalam negara sehingga tempias ‘salju’ politik turut dirasai di Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, berkat permuafakatan ini, rakyat di negeri dan negara ini hidup lebih aman berbanding negara luar yang ada hidup dalam kancah peperangan dan mendambakan keamanan,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan kerajaan negeri dibawah pentadbirannya juga terus ke hadapan dengan melancarkan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021–2025 dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 berasaskan prinsip utama kemakmuran ekonomi serta merancakkan pembangunan ekonomi digital sehingga 2027.

Justeru pihaknya bersedia meneliti perancangan pembangunan dan konsensus pemimpin di negeri ini bagi memenuhi harapan dan inspirasi rakyat sekali gus memastikan kekayaan dan kemakmuran hasil negeri yang sedang dikecapi kekal mampan.

BACA LAGI: Negeri Sembilan berjaya ubah belanjawan defisit jadi surplus

“Kerajaan negeri terus komited untuk meneruskan libat urus bersama pelabur yang berpotensi sama ada dari dalam mahupun luar negara agar Negeri Sembilan terus menjadi pilihan para pelabur.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan sehingga suku ketiga tahun lepas, sebanyak RM3.14 bilion pelaburan dicatatkan di Negeri Sembilan,” jelasnya.

Aminuddin juga memaklumkan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri tahun ini diunjurkan sederhana dan berkembang empat hingga lima peratus dengan pertumbuhan ekonomi yang masih perlahan.

Kerajaan Negeri juga merangka pelbagai inisiatif supaya corak perbelanjaan dilakar lebih awal sekali gus memastikan kelangsungan pelbagai bidang tumpuan termasuk pemerkasaan ekonomi rakyat, kebajikan, pendidikan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Melalui ucapanya juga beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi sistem Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan dan akan tetap mempertahankan kedaulatannya.

Related Articles

Back to top button