Semasa

Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak mohon TNB tangguh potong bekalan elektrik pangsapuri

Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa menangguhkan proses pemotongan bekalan elektrik ke Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1, Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 17 Januari ini.

Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak melalui wakilnya berkata, pihaknya telah mengadakan rundingan bersama pihak TNB dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.

“Pihak JMB berdepan kesukaran untuk menyelesaikan jumlah tunggakan bil mencecah RM2 juta. Justeru, kita mencadangkan pihak JMB diberi peluang menjelaskan bayaran tunggakan secara berjadual bagi mengurangkan tunggakan yang ada, dan kita yakin pihak TNB akan bersetuju.

“Kita juga meminta TNB menangguhkan pemotongan hingga sekurang-kurang selepas selesai mesyuarat penduduk bersama pihak Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk pemilihan wakil JMB baharu pada Februari depan,” katanya wakilnya, Datuk Azman Abidin.

Azman turut memaklumkan, isu tersebut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu tindakan sewajarnya diambil bagi membantu pihak JMB serta penduduk.

Pihaknya juga maklum akan masalah dihadapi pihak JMB yang menghadapi masalah kewangan berikutan kos overhed melebihi pendapatan.

“Masalah timbul kerana ada penduduk culas membuat bayaran, dan perkara ini tidak adil kepada JMB serta penduduk yang menjalankan tanggungjawab mereka.

“Di pihak Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, kita akan membantu apa sewajarnya, termasuk isu tong sampah yang mana kita sudah memberi lima tong sampah baharu di setiap blok, selain isu kerosakan jalan juga dalam tindakan,” jelasnya.

Pihak JMB sebelum ini menjelaskan, tunggakan bil elektrik membabitkan lima blok di pangsapuri terbabit kini mencecah RM2.02 juta ringgit sejak 2023 menyebabkan pihak TNB mengemukakan tuntutan sekurang-kurangnya 10 peratus (RM200,000) daripada jumlah keseluruhan tunggakan kepada syarikat pemaju untuk mengelakkan pemotongan bekalan.

Namun jelas JMB, pihaknya tidak mampu buat pembayaran dan isu ini berlaku kerana kutipan yuran penyelenggaraan tidak mencukupi untuk menampung jumlah diminta

Sementara itu Azman ketika mengulas tuduhan kononnya JMB melakukan penyelewengan berkata tidak mahu mengeruhkan keadaan dan membiarkan pihak polis menjalankan siasatan mereka.

Related Articles

Back to top button