Sukan

Penyokong Harimau Malaya bawa semangat rakyat Malaysia ‘gegar’ Doha

Kumpulan penyokong skuad Harimau Malaya menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita diiringi paluan kompang oleh Kelab Kompang Qatar yang ternyata mencuri tumpuan ramai di Souq Waqif sempena saingan Piala Asia 2023, malam tadi.

Nyanyian dan paluan kompang lebih menggamatkan lagi suasana yang mana ia turut mendapat perhatian daripada penyokong dan media negara lain.

Lebih meriah, apabila terdapat juga penyokong negara lain yang turut sama menari dan menyanyi bersama kumpulan penyokong Harimau Malaya.

Program itu dijayakan menerusi kolaborasi antara Kelab Kompang Qatar dan ‘Malaysian Association of Qatar’ sempena penyertaan skuad bola sepak kebangsaan di pentas Piala Asia 2023.

Harimau Malaya akan mula melangkah di pentas tertinggi bola sepak Asia bermula pada awal pagi Selasa selepas menanti selama 43 tahun untuk layak secara merit ke kejohanan Piala Asia di Doha, Qatar.

Skuad kendalian pengendali negara, Kim Pan-Gon itu diundi dalam Kumpulan E dan akan bertemu Jordan yang berada di ranking ke-87 dunia sebelum menentang Bahrain (86) serta Korea Selatan (23) yang juga juara dua kali Piala Asia.

Secara realistiknya, Harimau Malaya perlu melakar keputusan positif ke atas Jordan dan Bahrain dengan sekurang-kurangya mengutip empat mata iaitu satu kemenangan dan satu seri untuk berada dalam kelompok empat pasukan ketiga terbaik dan mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

Terdahulu, barisan pemain dan pegawai skuad Harimau Malaya telah dibawa ke sesi suai kenal stadium di Stadium Al Janoub yang terletak di Al Wakrah, Qatar.

Stadium Al Janoub yang berkapasiti 44,325 tempat duduk merupakan venue bagi perlawanan pertama Kumpulan E, Malaysia lwn Jordan pada jam 8.30 malam esok (1.30 pagi Selasa, waktu Malaysia) serta perlawanan ketiga kumpulan, Republik Korea lwn Malaysia pada Khamis, 25 Januari 2024, jam 2.30 petang (7.30 malam, waktu Malaysia).

Sementara satu lagi perlawanan iaitu perlawanan kedua kumpulan, Bahrain lawan Malaysia akan berlangsung di Stadium Jassim Bin Hamad yang berkapasiti 13,030 tempat duduk pada Sabtu ini, jam 5.30 petang (10.30 malam, waktu Malaysia).

Sesi suai kenal stadium ini dibuat memandangkan tiada sesi latihan rasmi akan diadakan di stadium yang mana pasukan-pasukan hanya akan mengadakan sesi latihan rasmi mereka (sehari sebelum perlawanan) di padang latihan masing-masing termasuk Malaysia di Qatar University.

Related Articles

Back to top button