PM Anwar, para menteri ucap selamat menyambut perayaan Pongal kepada komuniti Tamil
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Pongal kepada seluruh komuniti Tamil di Malaysia.
Beliau berkata, perayaan yang diraikan selama empat hari itu adalah perayaan budaya bagi menzahirkan rasa syukur, selain bersiap untuk lembaran baharu.
“Saya amat berharap masyarakat Tamil di Malaysia dapat meraikannya dengan kegembiraan serta kebahagiaan dan semarakkan nilai-nilai yang baik, selain terus memperteguh kemajmukan sebagai akar dan kekuatan bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Pada masa yang sama, anggota Kabinet lain melalui hantaran media sosial masing-masing, turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Pongal kepada masyarakat Tamil di Malaysia, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Facebook berharap pesta menuai itu akan membawa kegembiraan dan kemakmuran.
“Selamat Hari Pongal! Semoga pesta menuai ini membawa kebahagian yang tidak terhingga, kemakmuran dan kesihatan kepada anda dan orang tersayang. Ponggal Valthukal,” katanya.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di media sosial pula berharap perayaan Pongal akan terus membawa kemakmuran, keceriaan dan keharmonian seisi keluarga.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pongal kepada semua komuniti Tamil di Malaysia.
“Saya juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat jadikan perayaan ini sebagai antara pemangkin perpaduan negara,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula mengajak rakyat merayakan sambutan Hari Pongal dengan semangat yang sihat dan hati yang gembira.
“Kesihatan adalah kekayaan. Kebahagiaan adalah penawar …. Selamat menyambut Hari Pongal,” katanya dalam hantaran melalui Facebook.
Pongal menandakan permulaan bulan ‘Thai’ dalam kalendar Tamil dan disambut dengan penyediaan nasi manis untuk keluarga dan rakan-rakan tanda berterima kasih dengan hasil tuaian yang melimpah ruah.