Negeri

Stadium Shah Alam diroboh tanpa guna bom, peledak – Amirudin

Proses untuk merobohkan Stadium Shah Alam bagi pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu tidak akan menggunakan peledak mahupun bom.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses itu sebaliknya akan dilaksana secara manual.

“Saya akan pastikan segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu.

“Kita akan menggunakan mesin yang akan mengambil masa panjang. Kerja akan bermula selepas kita berjaya mengalihkan sub-stesen TNB kerana ia penting (bekal tenaga elektrik) untuk Seksyen 13,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK di Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata, pihaknya giat menyelesaikan isu berkenaan dengan TNB dengan kerja mengubah sumber aliran elektrik sedang berjalan.

“Kalau tidak, seluruh Seksyen 13 akan bergelap sebab kita hendak merobohkan Stadium Shah Alam, tambahan pula kelulusan sudah diberikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kalau buat (sub-stesen) baharu, akan ambil masa lagi setahun, baru boleh robohkan stadium. Jadi kita alihkan dulu,” katanya.

Kerajaan negeri menghantar pelan Kebenaran Merancang (KM) bagi projek KSSA pada 15 November tahun lalu membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar, yang dijangka siap menjelang 2026.

Related Articles

Back to top button