Semasa

Subsidi bersasar pastikan bekalan barang keperluan cukup di pasaran – Timbalan Menteri

Penyelarasan subsidi dijangka akan menyelesaikan masalah bekalan untuk rakyat tempatan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh .

Menurut Fuziah, usaha kerajaan untuk menyelaras semula pemberian subsidi itu akan mengekang warga asing menikmati barangan bersubsidi seperti minyak masak peket sekaligus memastikan barangan itu cukup di pasaran.

“Selepas kita lakukan penyelarasan subsidi, warga asing tidak boleh beli barangan bersubsidi kerana mereka tidak termasuk dalam kategori layak,” katanya dipetik laporan FMT.

Fuziah sebelumnya diminta mengulas sebuah video tular memaparkan tindakan seorang lelaki tempatan menegur warga asing daripada membeli minyak masak bersubsidi.

Menteri KPDN Armizan Mohd Ali pada 9 Jun lalu berkata tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi namun mereka tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Kini minyak masak berharga RM2.50 itu dijual secara pukal disasarkan kepada mana-mana kumpulan menyebabkannya boleh dibeli sesiapa sahaja.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata kerajaan akan melakukan penyasaran semula subsidi secara berfasa pada tahun ini.

Selain mengelakkan ketirisan, kerajaan berhasrat menyalurkan penjimatan dari pemberian subsidi itu untuk meningkatkan peruntukan untuk program lain termasuk Sumbangan Tunai Rahmah kepada rakyat.

BACA LAGI: Langkah pelarasan semula subsidi perlu bagi memastikan mereka yang berhak dapat manfaat

Susulan itu Kerajaan pada 2 Januari lalu melancarkan Sistem Pangkalan Data Utama atau singkatannya PADU.

Pangkalan data itu bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Sementara itu tambah Fuziah, ketika ini kerajaan masih menyediakan garis panduan bagi mengekang penjualan barangan bersubsidi yang akan mengambil kira data PADU.

Related Articles

Back to top button