Semasa

Tidak wajar Mahathir buat kenyataan memecah belah kaum – Gobind

Menteri Digital, Gobind Singh Deo membidas bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan yang meremehkan kesetian masyarakat India dan China di negara ini.

Gobind dalam satu kenyataan berkata, Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan kaum dengan warganya terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

Sebagai seorang bekas pemimpin, bekas Pengerusi Parti Bersatu itu tegasnya tidak wajar melontar kenyataan seperti itu.

“Amat malang bahawa walaupun telah menerajui negara ini selama bertahun-tahun, Dr Mahathir masih merasa wajar untuk membuat kenyataan yang bersifat memecahbelahkan terutamanya dalam hal kaum.

“Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf perkara ini dengan jelas bahawa kecuali sebagaimana yang dibenarkan secara nyata oleh perlembagaan itu sendiri, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara hanya atas alasan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang,” katanya.

Bercakap dalam temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

BACA LAGI: Perlekeh masyarakat India, Mahathir cuba alih perhatian kes Daim?

Katanya, orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, Tamil.

Mahathir kemudian berkata bahawa “masalah” dia ialah apabila “pendatang” (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Sementara itu Gobind yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP menegaskan, ia juga diterima umum bahawa ramai rakyat negara ini bercakap lebih daripada satu bahasa, kebanyakan mereka fasih dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda mereka sendiri yang termasuk antara lain, Cina, Tamil, Iban atau Kadazan.

Dr Mahathir juga tegasnya mesti mengakui bahawa semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak telah bekerja dan masih bertungkus lumus membina negara ini.

“Tidak salah jika kita datang daripada latar belakang kaum, agama dan budaya yang berbeza atau bercakap dalam bahasa yang berbeza. Kita sememangnya rakyat Malaysia dan setia kepada negara kita,”

“Ini tidak pernah menjadi masalah kepada kami. Sebaliknya, kepelbagaian itulah yang telah menguatkan kita dan meletakkan kita dalam kedudukan untuk mendapat manfaat daripada dunia hari ini yang sebahagian besarnya bersifat global,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button