Nasional

Derita pelajar UMS terkait masalah air akan berakhir Mac ini – Menteri

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan masalah air yang membelenggu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) diselesaikan selewat-lewatnya Mac depan.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, jaminan itu diberikan pihak pengurusan universiti berkenaan dan pihaknya mengambil perhatian terbabit serta mahu ia direalisasikan.

“Saya mahu ia diselesaikan pada kadar segera dan di pihak kerajaan negeri saya faham, mereka perlukan masa untuk memasang fasiliti yang diperlukan, namun di pihak universiti saya tidak mahu memberi tempoh tertentu, tetapi tidaklah sampai setahun untuk diselesaikan kerana ia terlalu panjang.

“UMS telah memaklumkan untuk menyelesaikan masalah air itu dalam tempoh sehingga Mac, justeru saya mahu lihat tindakan lanjut apa yang mereka laksanakan,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan pemimpin masyarakat di Kampung Merlimau Pantai, Jasin hari ini.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Jasin serta Politeknik Merlimau.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Zambry berkata, beliau amat bersimpati dengan masalah di UMS, terutama apabila sekumpulan pelajar membawa plakad sewaktu program turun padangnya di universiti itu, awal bulan ini.

“Saya tahu mereka berhadapan dengan masalah yang berpanjangan sejak 2021, jadi sewajarnya pihak universiti menjadikan masalah itu sebagai keutamaan untuk diselesaikan pada kadar segera.

“Alasan seperti tidak ada peruntukan dan sebagainya tidak timbul kerana ia boleh dibincang serta dimaklumkan kepada kerajaan untuk diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu laporan penuh berhubung peruntukan dan pelaksanaan projek bagi mengatasi bekalan air di UMS.

Merujuk laporan mengenai sekumpulan pelajar di universiti berkenaan yang mengadu tidak mandi disebabkan ketiadaan bekalan air, Anwar berkata, beliau merasa tersinggung dengan insiden itu memandangkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi tujuan berkenaan telah diluluskan pada Mei tahun lalu.

Related Articles

Back to top button