Negeri

Ekonomi berkembang, Selangor sasar nilai pelaburan hingga RM50 bilion – Menteri Besar

Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan nilai pelaburan sehingga RM50 bilion untuk tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu diletakkan setelah pentadbirannya melihat perkembangan ekonomi serta pembukaan beberapa sektor baharu.

“Kita yakin boleh capai sasaran RM50 bilion. Sekiranya nilai pelaburan meningkat sehingga enam peratus, kita dapat catat minimum kenaikan sehingga 0.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Mungkin KDNK Selangor mencapai 26 peratus tetapi kita mahu lihat dahulu nilai dicatat tahun lalu. Data jabatan perangkaan masih belum keluar,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Shah Alam pada Isnin.

Tahun lalu, Kerajaan Selangor menyasar unjuran nilai pelaburan berjumlah RM45 bilion dengan sektor perkhidmatan menyumbang RM32 bilion diikuti sektor pembuatan RM12 bilion.

Sebelum ini Exco Pelaburan Negeri Selangor Ng Sze Han menyatakan rasa optimis bahawa ekonomi bagi negeri itu akan terus melonjak.

BACA LAGI: Pelaburan ke Selangor dijangka melonjak

Kerajaan Negeri jelasnya menjangkakan nilai pelaburan mampuu mencecah RM50 bilion berdasarkan beberapa faktor termasuk kedudukan strategik Selangor.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu sahaja jelasnya 657 projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan telah diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan RM29.72 bilion.

Dibawah pentadbiran Pakatan Harapan, Selangor menjadi penyumbang KDNK terbesar dengan 25.5 peratus, sekali gus melebihi satu perempat ekonomi negara.

Pencapaian tertinggi dalam tempoh 14 tahun itu disumbang pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan apabila negeri ini mencatatkan peratusan tertinggi masing-masing 32.2, 34.1 dan 26.5 peratus.

Related Articles

Back to top button