Semasa

Jawatankuasa Kabinet cadang pengoperasian nyamuk aedes berwolbachia diperluas

Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi mencadangkan supaya pengoperasian nyamuk aedes berWolbachia diperluaskan melalui pertambahan 10 lokaliti baru.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu sebagai pencegahan kawalan denggi di seluruh negara memerlukan dana kira-kira RM4 juta setahun.

“Program pelepasan nyamuk aedes berbolbachia sudah dilaksanakan di 32 lokaliti membabitkan tujuh negeri bermula 2019 menyaksikan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 45 hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan.

“Jadi jawatankuasa ini mencadangkan pengoperasian nyamuk aedes berwolbachia melalui penambahan 10 lokaliti baharu yang memerlukan dana sebanyak RM4 juta setahun bagi menampung kos operasi,” katanya.

Kenyataan Dr Ahmad Zahid dibacakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Putrajaya pada Isnin.

Sejumlah 123,133 kes denggi telah direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat 86.3 peratus berbanding 66,102 kes pada 2022 dengan jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi turut meningkat kepada 100 kes.

Nyamuk aedes berWolbachia disuntik dengan bakteria Wolbachia adalah satu kaedah pencegahan Denggi, Zika dan Chikungunya.

Strategi Wolbachia ini bertujuan menggantikan populasi nyamuk aedes sedia ada kepada nyamuk Aedes yang berWolbachia untuk menjadikan nyamuk tersebut tidak dapat memindahkan virusdenggi kepada manusia.

BACA LAGI: Menteri kesihatan gesa ED tumpu khidmat beri rawatan, bukan sibuk isu pakaian

Sementara itu menurut kenyataan yang dibacakan itu, jawatankuasa kabinet juga mencadangkan penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menjadikan pelepasan nyamuk aedes berWolbachia sebagai projek angkat PBT.

Beliau turut menyarankan aktiviti gotong-royong besar-besaran membabitkan kementerian, jabatan dan agensi akan dilaksanakan bersama badan bukan kerajaan, pemimpin setempat dan masyarakat bermula tahun ini.

“Jawatankuasa ini juga memutuskan beberapa perkara antaranya meningkatkan keupayaan sumber melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk penubuhan pasukan petugas bersama GLC.

“Selain itu, keupayaan sumber melalui penyumberluaran turut dipertingkatkan melalui aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seperti semburan serta ‘larvasiding’,” katanya.

Dr Dzulkefly sementara itu memaklumkan pihaknya sedang memperincikan cadangan tersebut dan membincangkan dengan pihak negeri sebab kita mahukan kegiatan itu terutamanya di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Jadi (kita) akan kenal pasti 10 (lokaliti) yang akan kita rundingkan dengan lebih tepat sebab akhirnya ia akan membabitkan komuniti dan kita mahu pembabitan komuniti,” katanya.

Related Articles

Back to top button