Sukan

Jordan belasah Harimau Malaya 4-0 di aksi pembukaan Piala Asia 2023

Skuad Harimau Malaya yang beraksi buat pertama kali di pentas tertinggi Piala Asia 2023 berdepan misi sukar untuk mara ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 apabila tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi Kumpulan E di Stadium Al Janoub awal pagi tadi.

Kekalahan besar itu dialami skuad negara ketika penyokong Harimau Malaya meletakkan harapan tinggi untuk anak buah Kim Pan Gon sekurang-kurangnya meraih satu mata berdepan pasukan di ranking ke-87 dunia.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila pintu gol Harimau Malaya yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bocor pada minit ke-12 menerusi rembatan lencong bekas pemain import Kedah Darul Aman (KDA), Mahmoud Al Mardi.

Belum sempat skuad negara bangkit, Jordan pula memperoleh sepakan penalti selepas pengadil meneliti video bantuan pengadil (VAR) dan mendapati ada kekasaran dilakukan Matthew Davies terhadap Yazan Al Naimat.

Peluang keemasan itu kemudian digunakan sepenuhnya oleh Mousa Tamari untuk meledak gol kedua Jordan pada minit ke-18.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-32, kelekaan pertahanan negara sekali lagi dihukum dengan jaringan Al Mardi yang mudah menolak masuk bola ke gawang selepas menerima umpanan Al Naimat.

Meskipun Malaysia dilihat beraksi dengan lebih baik pada babak kedua, namun tetap tidak mampu untuk menyekat Tamari daripada melengkapkan kemenangan bergaya Jordan dengan meledak gol keempat pasukannya pada minit ke-85.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan Harimau Malaya yang akan memulakan saingan Piala Asia 2023 menentang Jordan.

Anwar berkata, perlawanan pertama itu satu misi penting untuk membawa nama negara khususnya menerusi sukan bola sepak ke pentas antarabangsa.

“Seluruh rakyat Malaysia mendoakan kalian bertempur dengan penuh semangat. Selamat berjuang!,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Harimau Malaya bakal berdepan pasukan di ranking lebih tinggi, Bahrain (ranking 86) dan Korea Selatan (23) pada Sabtu dan 25 Januari ini.

Related Articles

Back to top button