Politik

KEADILAN Sarawak sokong pendirian Premier, gesa pembangkang hentikan cerita dongeng

Ketegasan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terus menerajui Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15 disambut baik KEADILAN Negeri Sarawak.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN, Senator Abun Sui Anyit berkata, pihaknya menyokong ketegasan disuarakan Abang Johari bahawa sebarang usaha menukar Perdana Menteri atau kerajaan pusat di pertengahan penggal tidak patut disokong kerana merugikan dan menyusahkan rakyat.

“Kita berharap dengan kenyataan terbaru Abang Jo ini akan menoktahkan apa-apa (sebarang) cakap-cakap yang kerajaan pusat akan tumbang.

“Kerajaan hanya dapat ditumbangkan dengan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, bukan dengan Akuan Sumpah (SD) lagi,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: PM Anwar harus kekal hingga tamat penggal – Premier Sarawak

Melalui kenyataan sama beliau menegaskan usaha menukar Kerajaan Persekutuan adalah mustahil kerana ia perlu melibatkan perkenan seluruh kerangka kerajaan seperti sokongan majoriti di Parlimen, perkenan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Justeru pihaknya menasihatkan agar rakyat tidak perlu risau atau gelisah dengan berita dan harapan palsu yang disuarakan oleh pihak pembangkang dan pempengaruh media sosial mereka.

“Kita nasihatkan pembangkang dan penyokong taksub mereka, hentikanlah cerita palsu kerajaan tumbang.

“Rakyat keseluruhan pula tak usah mudah percaya kepada dongeng-dongeng TikToker pembangkang yang masih membuat cerita dongeng hanya untuk melariskan akaun TikTok atau media sosial mereka,” tambah Abun Sui melalui kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button