Semasa

Kerajaan berusaha tambah baik tata keloka berkaitan AP, IP

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta setiap agensi kawal selia berkaitan mengemukakan kaedah penambahbaikan tata kelola berkaitan Approved Permit (AP) dan Permit Import (IP) kepada Jemaah Menteri.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebooknya, beliau berkata langkah bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisis risiko import itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) yang dipengerusikannya pada Isnin.

“MTEN hari ini membincangkan mengenai penambahbaikan tata kelola AP dan IP ke arah meningkatkan daya saing negara.

“Adalah penting bagi kerajaan mencari satu formula yang bukan sahaja memberi keuntungan kepada pengguna tetapi juga kepada pengeluar tempatan terutama dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi,” katanya.

Anwar berkata, melalui mesyuarat yang diadakan itu Ketua Audit Negara turut disaran melaksanakan proses audit untuk sektor terpilih.

Ia bagi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat ditetapkan.

BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diarah untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tata kelola dan pengimportan barangan halal dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi memperkukuh keberkesanan perbincangan dan keputusan, beliau bersetuju menambah ahli tetap MTEN.

Mereka adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Related Articles

Back to top button