LKIM kerjasama dengan UMTJ, perkasa golongan nelayan muda
Golongan nelayan muda bakal diperkasa melalui peningkatan ilmu pengetahuan, produktiviti dan kelestarian industri perikanan di Malaysia.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia sebagai sebahagian komited agensi itu bagi memastikan kebajikan golongan itu.
Justeru jelasnya, beberapa inisiatif dirangka untuk meningkatkan produktiviti nelayan sehingga 30 peratus berbanding kaedah konvensional 25 peratus yang sedang diamalkan sekarang.
Bagi mencapai tujuan itu, LKIM akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu Jaya Holdings Sdn. Bhd. (UMTJ) untuk mempelopori penghasilan ‘Big Data’ bagi membolehkan analisa dan maklumat yang lebih tepat dapat dikongsi dengan semua pihak yang terlibat.
“LKIM dan UMTJ akan memberi fokus terhadap aktiviti berkaitan latihan, pendidikan, perundingan komersial yang melibatkan pelbagai bidang termasuklah marin, maritim, teknologi kejuruteraan, perikanan, pertanian, perhutanan dan pengurusan alam sekitar.
“Maklumat terkini yang tepat dapat memastikan keselamatan nelayan terjamin di samping meningkatkan produktiviti dan hasil tangkapan mereka,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LKIM dan UMTJ, di Kuala Nerus, Terengganu pada Isnin.
MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif UMTJ, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir itu akan memberi fokus kepada bidang penyelidikan dan pembangunan industri perikanan serta memperkenalkan penggunaan dron dan internet benda (IoT) terutama kepada golongan nelayan muda di negara ini.
BACA LAGI: Enam inisiatif bantu petani, penternak, peladang dan nelayan terjejas akibat banjir
Sementara itu, Pengerusi UMTJ, Datuk Dr. Din Adam berkata, perkongsian antara UMTJ dan LKIM adalah satu lagi langkah ke hadapan bagi memupuk inovasi, penyelidikan dan pendidikan dalam bidang teknologi digital.
“Kerjasama ini juga bertujuan memanfaatkan sinergi antara kepakaran industri dan kecemerlangan akademik, selain memperkasakan pelajar dan profesional untuk berkembang maju dalam era digital yang sentiasa berkembang,” katanya dipetik.