Negeri

Peruntukkan RM1.18 bilion bukti Kedah tak dianaktirikan Persekutuan

Kerajaan Perpaduan mengambil pendirian tidak menganaktirikan negeri pembangkang termasuk Kedah walaupun tidak selari pentadbiran dengan kerajaan negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pantadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa meletak kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Justeru tegasnya, perkara itu dibuktikan apabila Kedah diberi peruntukkan RM1.18 bilion daripada Kerajaan Perpaduan untuk pelbagai pembangunan di Kedah melibatkan 430 projek untuk tahun ini berbanding RM100 juta oleh kerajaan negeri.

“Kedah sama sekali tidak diketepi, dibelakangkan atau dianaktirikan Kerajaan Persekutuan walaupun berbeza daripada amalan demokrasi.

“Biarpun ada wujud perbezaan dari segi kerajaan yang memerintah tapi saya tak fikir rasional yang ada kepimpinan Kerajaan Persekutuan bahawa kami hendak korbankan aspek kepentingan rakyat. Biar data berbicara,” kata Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah dalam satu sidang media.

Saifuddin sebelumnya mengadakan lawatan ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit, di Alor Setar pada Selasa.

Sementara itu, sebagai mengulas mengenai projek itu berkata, ia dijangka siap sepenuhnya pada September depan.

BACA LAGI: Kelantan terima peruntukan tertinggi, dakwaan negeri pembangkang dipinggirkan meleset

Kerajaan Persekutuan jelasnya yakin projek itu akan mengatasi masalah bencana banjir di bandar raya Alor Setar dan Jitra yang memberi impak kepada 63,000 penduduk di sekitarnya selain mampu memelihara 9,000 hektar kawasan sawah padi di sepanjang laluan Jitra ke Alor Setar daripada ditenggelami banjir seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Projek RTB ini adalah untuk menyediakan aliran baharu bagi mengatasi masalah limpahan yang berpunca daripada tiga sungai utama iaitu Sungai Baru, Sungai Tanjung Pauh dan Sungai Anak Bukit yang melalui kawasan penduduk, taman perumahan, kampung dan industri.

“Kemajuan semasa fizikal projek adalah 78.13 peratus dengan baki kerja utama yang masih dalam pelaksanaan melibatkan pembinaan dua jambatan iaitu Jalan Alor Setar-Kangar dan Jalan Gunung Keriang,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button