PM Anwar sasar sejuta rakyat ikuti kursus kefahaman asas AI setahun
Rakyat perlu segera menerima perubahan semasa serta pantas menguasai bidang kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita tidak ada pilihan selain memastikan rakyat menyedari sepenuhnya apa yang saya sebut sebagai celik digital dan celik AI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran AI Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM Serdang, Selangor, hari ini.
Susulan peluncuran program itu, Anwar menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini dan sebagai permulaan program itu perlu segera dilaksanakan dan dimulakan kepada pelajar sekolah, penuntut universiti dan penjawat awam.
Naib Canselor universiti turut diseru bagi memastikan semua pelajar ikuti kursus empat jam program kefahaman asas AI tersebut.
“Jadi kita tiada waktu. Maka Naib Canselor ada di sini, saya harap universiti lain dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk pastikan semua pelajar tanpa terkecuali terutamanya di universiti mesti ikut program ini,” katanya.
AI Untuk Rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian, direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.