Semasa

‘Tak perlu persoal kesetiaan rakyat kepada negara’ – Rafidah

Seorang bekas menteri mengkritik kenyataan yang mempersoal kesetiaan rakyat Malaysia terhadap negara.

Tan Sri Rafidah Aziz yang merupakan Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan kerana sepanjang tempoh 67 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat Malaysia hidup bersatu padu.

“Kepelbagaian itu suatu anugerah, sebab itu cogan kata kita ‘Bersatu Bertambah Mutu

“Sebagai rakyat Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita benar-benar bersatu dalam perpaduan, menghormati dan menerima kepelbagaian dalam kalangan kita,” kata Rafidah.

Tanpa mengulas lanjut, hantaran itu dipercayai sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temu bual eksklusif bersama saluran TV satelit di India .

Melalui wawancara secara dalam talian itu, Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Kenyataan itu kemudian dikritik dan dianggap tidak wajar dilontarkan lebih-lebih lagi dari seorang bekas pemimpin negara.

BACA LAGI: Pemimpin generasi muda tak senang dengan kenyataan diskriminasi dilontar Mahathir

Sementara itu Rafidah berkata, sejak akhir-akhir ini wujud pandangan mengenai siapa rakyat Malaysia daripada perspektif pihak tertentu, sekali gus mencetuskan perdebatan.

Namun hakikatnya, sudah ramai rakyat Malaysia dalam pelbagai usaha dan bidang telah berjaya membanggakan negara.

“Seperti anak muda kita yang telah membanggakan Malaysia dan menjulang bendera negara dalam pelbagai kejayaan dan pencapaian, sama ada dalam atau di luar negara.

“Mereka melakukannya sebagai rakyat Malaysia walaupun sebilangannya tidak mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Kini sudah 2024, marilah kita semua terus menghormati kepelbagaian yang ada dan menerimanya dengan sepenuh hati,” ujar bekas Ketua Wanita UMNO itu.

Related Articles

Back to top button