KDN rancang perkenal semula pelan rekalibrasi PATI tahun ini
Pelan rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal diperkenal semula pada tahun ini bagi penghantaran pulang golongan itu ke negara asal mereka.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu selepas pihaknya menerima maklum balas daripada kedutaan negara sumber yang mengesyorkan supaya ruang dibuka semula bagi penghantaran pulang warga mereka.
Bagaimanapun jelasnya, keputusan sama ada pelan itu akan dilaksana tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
“Jawatankuasa bermesyuarat mencadangkan semula program rekalibrasi bagi penghantaran pulang rakyat asing yang tinggal lebih masa mulai tahun ini.
“Kita akan cadangkan satu tarikh kepada Jemaah Menteri dan juga jumlah kompaun yang akan dikenakan terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 di Putrajaya pada Selasa.
BACA LAGI: Proses verifikasi RTK 2.0 tamat 31 Mac ini
Sebagai rekod, pelan rekalibrasi PATI itu ditutup tahun lalu, namun kerajaan masih meneruskan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sehingga 31 Mac ini untuk meregularisasikan tenaga kerja asing di negara ini sebagai pekerja yang sah digajikan
Setelah berakhirnya tempoh proses verifikasi berkenaan, mana-mana majikan yang didapati masih menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah boleh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B; Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Sementara itu tambah Saifuddin, ketika ini negara mempunyai seramai dua juta pekerja asing dengan tiga sektor sudah lengkap diisi iaitu perkhidmatan, pembinaan dan perkilangan.
Namun jelasnya ada keperluan tinggi untuk tenaga buruh bagi dua lagi sektor iaitu perladangan dan pertanian.