Nasional

Kenaikan tarif air mulai 1 Februari masih rendah – SPAN

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan tarif baharu air naik secara purata 22 sen bagi setiap meter padu bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari ini.

Walau bagaimanapun, kata SPAN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, kenaikan tersebut masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

Menurutnya, pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Berdasarkan TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati rakyat.

“Namun, kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” menurut kenyataan itu.

Bagi meminimumkan kesan kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, SPAN menyarankan supaya operator bekalan air di negeri masing-masing meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40.

Melalui semakan tarif itu, SPAN berkata operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air.

Antaranya untuk pembinaan atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna.

Dalam masa sama, SPAN menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat.

Related Articles

Back to top button