ekonomi

Kerajaan rangka Dokumen New Deal for Business sebagai pemangkin transformasi ekonomi

Kerajaan sedang merangka dokumen New Deal for Business (NDFB) untuk meningkatkan keyakinan perniagaan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta mendorong transformasi digital negara.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dipetik laporan media berkata, inisiatif melalui Pemudah (Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan) itu merupakan satu platform tertinggi yang dianggotai oleh pihak industri dan kerajaan dalam memudahcara urusan menjalankan perniagaan.

Pelaksanaan NDFB jelasnya akan memberi impak kepada pelaburan langsung asing dan domestik, penciptaan pekerjaan baru serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia. NDFB turut diselaraskan dengan sasaran Ekonomi Madani untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.

“NDFB merincikan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu bagi menambahbaik persekitaran perniagaan dengan menangani cabaran berbentuk struktur dan situasi.

“Fokus ditumpukan kepada reformasi struktural ke arah menangani kerenah birokrasi, penyampaian peraturan yang tidak cekap dan beban peraturan yang tidak wajar terhadap pelabur dan perniagaan dalam menjalankan perniagaan di Malaysia,” kata Rafizi menurut laporan tersebut.

NDFB dijangkakan akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada bulan Mac 2024, disusuli dengan pelaksanaan beberapa projek perintis sebagai permulaan sebelum peluncurannya pada Jun 2024.

BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

Sementara itu tambah Rafizi, pendekatan GovTech akan menjadi salah satu kaedah utama dalam merealisasikan pelaksanaan perubahan struktur dan peningkatan kecekapan proses.

Pemantauan prestasi secara dashboard di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk di peringkat negeri dan tempatan untuk pengukuran inisiatif pembaharuan akan diselia oleh Pemudah.

Pada masa yang sama, penilaian ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dibuat bagi menilai daya saing serta kemampuan PBT untuk mentransformasi proses dan peraturan bagi mendorong perkembangan industri.

“Antara isu dan sedang diberikan tumpuan adalah kesulitan pematuhan peraturan di pelbagai agensi dalam pendaftaran perniagaan, kompleksiti dalam mendapatkan permit pembinaan yang merangkumi pelbagai lapisan kerajaan, kekurangan integrasi dalam urusan mendapatkan penyambungan utiliti dan urusan perdagangan antarabangsa,” tambah laporan itu.

Related Articles

Back to top button