Kereta kebal Israel kembali serang utara Semenanjung Gaza
Kereta kebal Israel sejak semalam bertindak menyerbu kembali bahagian utara Semenanjung Gaza yang dikosongkan minggu lalu, kata penduduk setempat.
Tindakan itu meningkatkan semula ketegangan di wilayah yang menyaksikan beberapa pertempuran paling sengit sejak tahun baharu bermula, sehingga Israel mengumumkan pihaknya mengurangkan operasi di sana.
Namun, letupan besar boleh dilihat di kawasan utara Gaza dari seberang sempadan dengan Israel, walaupun regim Zionis sudah mengumumkan pengunduran pasukan tenteranya sejak dua minggu lalu.
Walaupun Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan peralihan kepada operasi yang lebih kecil dan bersasar, pada hakikatnya ia tidak berlaku, sebaliknya bunyi tembakan bergema merentasi sempadan sepanjang malam.
Menjelang pagi, jejak asap peluru berpandu kelihatan di langit ketika pertahanan udara Iron Dome Israel menembak jatuh roket yang dilancarkan Hamas melepasi pagar.
Tindakan itu turut membimbangkan Israel kerana membuktikan Hamas masih mengekalkan keupayaan untuk melancarkan roket walaupun sudah lebih 100 hari berperang.
Israel berkata, tenteranya membunuh berpuluh-puluh pejuang Hamas semalaman dalam pertempuran di Beit Lahiya di pinggir utara Gaza.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, dalam tempoh 24 jam lalu, pengeboman Israel mengorbankan 158 orang di enklaf Palestin.
Ini meningkatkan jumlah korban perang, yang kini memasuki bulan keempat, kepada 24,285, dengan ribuan lagi mayat dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan. – Reuters
Menurut laporan AFP, Israel semalam mencapai perjanjian dengan Hamas untuk hantar bekalan ubat-ubatan kepada tebusan dan orang awam yang sangat memerlukan bantuan di wilayah Palestin dilanda perang, hasil usaha pengantaraan Qatar dan Perancis.
Kementerian Luar Qatar mengumumkan Israel dan kumpulan pejuang Palestin itu bersetuju untuk menghantar ubat kepada tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas di Gaza sebagai pertukaran untuk membekalkan bantuan kepada orang awam.
Persefahaman itu berjaya dicapai dalam rundingan di mana Perancis dan Qatar bertindak sebagai pengantara, sekali gus memberi harapan masih ada ruang untuk kemajuan mencapai gencatan senjata, malah rundingan damai.