KPKM garis 12 program, laksana tranformasi industri padi dan beras negara
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bakal menggerakkan Inisiatif ‘Gelombang Padi’ tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu yang merupakan ‘pencetus perubahan’ bagi transformasi industri padi dan beras negara.
Antara inisiatif yang bakal diperkenalkan adalah dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS) selain usaha memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, memperkasa pembekalan input pertanian.
Turut akan dilaksana adalah program memperkasa penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.
“Inisiatif ini juga diharap meningkatkan pendapatan pengeluar makanan di sepanjang rantaian makanan.
“Kita sasar untuk capai 100 peratus kadar sara diri (SSR) beras. Purata pengeluaran beras negara masih tidak mencukupi dengan kadar SSR beras negara hanya 65 peratus (tahun lepas). 35 peratus lagi masih belum mencukupi dan usaha untuk meningkatkan SSR ini perlu dijadikan keutamaan bermula 2024,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024 kepada warga KPKM di sini Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.
BACA LAGI: Kementerian Ekonomi alu-alukan negeri tawarkan tanah untuk aktiviti pertanian moden
Sementara itu jelasnya, selain berusaha meningkatkan industri padi dan beras, KPKM juga akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri sedia ada iaitu ayam dan telur, bawang dan nanas tahun ini.
Mohamad berkata, penekanan kepada agenda Ekonomi Kitaran dalam aktiviti pertanian juga perlu diperkukuhkan seperti penggunaan baja organik dan kaedah pertanian moden yang lebih cekap bagi mengurangkan jumlah sisa bahan kimia daripada racun yang dilepaskan.
“Selain dapat mengelakkan berlakunya pencemaran dan pembaziran, aktiviti nilai tambah ini mampu memberikan pendapatan tambahan kepada pengusaha agromakanan,” tambahnya.